Tahun 1978 Republik Singapura menjadi tuan rumah persidangan Pertubuhan Parlimen antara ASEAN (Asean Inter-Parlimentary Organization (AIPO).
Delegasi Parlimen Malaysia diketuai oleh Yang DiPertua Dewan Negara, Dato' Omar Ong Yoke Lin (sekarang Tun) bekas menteri kabinet di zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Walau apa pun kita hendak kata tentang Perdana Menteri Pertama Malaysia ini, yang jelas beliau ada jiwa dakwah dalam dirinya. Rakan-rakan dalam politik tanah air daripada kaum Cina seperti Ong Yoke Lin; T.H Tan dan Lim Yew Hock (bekas Ketua Menteri Singapura) menganut Islam atas inisiatif Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM). Dalam kesibukan berpolitik, Tunku tetap meluangkan masanya dalam penyebaran Islam kepada masyarakat majmuk di negara tercinta ini.
Dalam persidangan AIPO di Singapura pada tahun 1978, saya telah dipilih menjadi Setiausaha Perwakilan Parlimen Malaysia. Pertemuan tahunan yang digilir-gilirkan negara ahli menjadi tuan rumah dapatlah ahli-ahli Parlimen dalam negara-negara ASEAN untuk berintergrasi dan memupuk semangat setiakawan dari Malaysia, Sinagpura, Indonesia, Thailand dan Filipina.
Dasar ASEAN untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai rantau aman, makmur dan bekecuali boleh dicapai secara tidak langsung dengan adanya pertemuan ahli-ahli Parlimen di kelima-lima negara AIPO pada waktu itu di setiap kali diadakan persidangan tahunan.
Semasa persidangan AIPO di Singapura, saya berkesempatan berkenal-kenalan dengan Setiausaha-setiausaha Parlimen Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina. Ini menambahkan pengalaman dan pengetahuan saya dalam prosedur dan peraturan-peraturan mesyuarat parlimen-parlimen negara lain.
Kesempatan berada di Singapura ini juga telah saya gunakan untuk melawat rakan saya Haji M. Yonn seorang peniaga yang gigih mengeluarkan kaset-kaset ceramah agama dan bacaan surah Yaasin. Sebagai perintis perniagaan kaset-kaset berunsur agama, Allahyarham Haji M. Yonn telah berjaya melakukan dakwah dalam bentuk baru yang mendapat sambutan luar biasa khasnya di alaf baru ini. Usaha gigih Allahyarham Haji M. Yonn ini patut disanjung tinggi kerana ia adalah usaha berwawasan jauh dan patut diberi penghormatan sewajarnya. Daripada usaha beliau, ramai peniaga kaset ceramah agama mendapat rezeki lumayan serta halal dan diberkati Allah.
Benarlah kata-kata bistari 'Jauh perjalanan, luas pandangan'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan