Semasa berkhidmat 27 tahun di Parlimen Malaysia, saya mendengar, melihat dan mengalami pelbagai peristiwa yang serius, lucu, menyedihkan dan mengkagumkan. Dari seorang yang muda, saya menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab supaya Badan Perundangan Tertinggi (Parlimen) berjalan dengan baik dan lancar sebagai salah satu daripada tiga cabang pemerintahan negara selain Eksekutif dan Kehakiman. Dari Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) hingga kepada Malaysia sejak 1963, Parlimen telah meminda dan meluluskan undang-undang (akta-akta) Perlembagaan Persekutuan dengan banyaknya seperti Akta Lembaga dan Urusan Tabung Haji, Akta Rahsia Rasmi, Akta Polis dan lain-lain lagi.
Di zaman Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussien Onn kebanyakan pindaan akta-akta dan juga akta-akta baru digubal untuk kebajikan rakyat terbanyak dan selaras dengan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Negara. Ahli-ahli Parlimen pada waktu itu bertindak untuk kebaikan negara tercinta. Sistem pengasingan kuasa berjalan dengan baik dan tidak menimbulkan banyak masalah. Niat ketiga-tiga Perdana Menteri terdahulu adalah murni dan sesuai dengan budaya Melayu-Islam dan masyarakat majmuk di negara ini. Sebagai seorang anak raja, YTM Tunku Abdul Rahman tidak perlu menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk mengkayakan diri dan keluarganya. Di samping sibuk dengan tugas sebagai Ketua Kerajaan, Tunku Abdul Rahman masih ada masa menjadi Presiden PERKIM yang banyak mengislamkan rakyat Malaysia yang inginkan keselamatan di akhirat yang kekal abadi itu.
Begitu juga Tun Abdul Razak dan Tun Hussien Onn yang datang dari keluarga bangsawan atau kedudukan tinggi dalam masyarakat Melayu, tidak memikirkan untuk mengkayakan diri dan keluarga daripada jawatan Perdana Menteri. Dengan sebab itu ketiga-tiga PM terdahulu menjadi sebutan orang-orang kampung yang cara hidup yang simple dan berbudaya hormat-menghormati sesama rakyat di desa ataupun di bandar.
Dengan sebab itulah saya selaku rakyat biasa dan pegawai Parlimen ingat tingkah laku mereka semua semasa berada di Parlimen apabila Dewan Bersidang. Pegawai-pegawai kerajaan yang datang bertugas di Parlimen merasa gembira sebab ketua kerajaan berjiwa rakyat dan memerintah mengikut undang-undang (rule of law).
Ini yang patut wujud dalam sistem demokrasi berparlimen yang membolehkan rakyat bebas memilih wakil-wakil di Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri lima tahun sekali dengan diawasi dan dikelolakan oleh Suruhanjaya Pilihanraya yang wajib bebas dan berkecuali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan