13 Julai 2012

BERPANTUN DALAM DEWAN RAKYAT




Dalam tempoh 27 tahun saya bekerja di Parlimen Malaysia dari tahun 1968 hingga 1995, saya banyak menyimpan cerita-cerita yang lucu yang dilakukan oleh ahli Dewan Rakyat mahupun ahli Dewan Negara.

          Kali yang pertama ini saya ingin menceritakan peristiwa yang benar-benar
berlaku semasa perbahasan mengenai pindaan Akta Pertubuhan 1960 di Dewan Rakyat. Adapun tujuan kerajaan membawa pindaan ini adalah bertujuan membuang bulan bintang dalam logo parti PAS.  Apa yang berlaku sewaktu Y.B dari Parit; Hashim Gera bangun membahaskan pindaan ini dengan keseluruhan ucapannya adalah dalam bentuk pantun;

     Sewaktu Hashim Gera (PAS) dari Parlimen kawasan Parit, Perak sedang rancak berpantun Y.B Musa Hitam Menteri Pelajaran di pihak kerajaan bangun meminta penjelasan daripada Speaker Syed Nasir Ismail; samada boleh berpantun semasa perbahasan di dalam Dewan, Speaker Syed Nasir, selaku mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka memaklumkan Dewan bahawa pantun adalah sebahagian daripada kesusasteraan Melayu dan menyuruh Y.B Hashim Gera meneruskan ucapan yang memakan masa lebih kurang setengah jam. Kelihatan muka Y.B Musa Hitam terperanjat dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat yang menyebelahi Hashim Gera.

       Daripada peristiwa pantun Hashim Gera dalam Dewan inilah yang menyebabkan saya berminat dengan pantun.

      

                   Belajar melompat anak kera
Jatuh ke bawah terkena tunggul
                   Hebat berpantun Hashim Gera
                             Ahli pemantun yang unggul





Tiada ulasan:

Catat Ulasan