17 Januari 2011

PERGI KE SWEDEN



Tahun 1992 IPU (Inter Parlimentary Union) menetapkan persidangan ke 88 nya diadakan di Stockholm,Sweden.

Perlimen Malaysia telah memilih 8 orang untuk menyertai persidangan itu. Ketua delegasi Malaysia ialah YB Chua Jui Meng,Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri waktu itu.

Ahli-ahli lain terdiri daripada:

1.YB Othman bin Abdul Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri (sekarang Datuk)
2.YB Senator Mohamed Nazri bin Abdul Aziz (sekarang Datuk)
3.YB Dato Haji Qamaruzzaman bin Haji Ismail
4.YB Wahab bin Suhaili
5.YB Haji Abdul Hamid bin Abdul Rahman
6.Dato Haji Wan Zahir bin Sheikh Abdul Rahman (setiausaha bagi Parlimen)



Daripada 6 ahli Parlimen yang ikut serta dalam delegasi ini ada yang telah dimurahkan rezeki oleh Allah s.w.t menjadi Menteri,iaitu YB Dato Chua Jui Meng dan YB Dato Mohamed Nazri Abdul Aziz Yeop. Moga-moga pengalaman di persidangan antarabangsa akan menjadikan ahli-ahli Parlimen yang berwibawa untuk kebaikan diri sendiri dan juga kebaikan kepada negara yang sangat-sangat memerlukan Badan Perundangan Tertinggi memajukan negara di era Globalisasi ini.



Berbalik kepada persidangan ini ketua delegasi Malaysia YB Chua Jui Meng telah memberi ucapan yang memberansangkan. Dengan ucapan yang bernas itu terbukalah ahli-ahli Parlimen seluruh dunia mengenal sedikit sebanyak kemampuan dan kebolehan ahli-ahli Parlimen di Malaysia berucap di forum antarabangsa. Pengalaman ini telah di eksploit oleh dua orang delegasi iaitu YB Chua Jui Meng dan YB Mohamed Nazri bin Abdul Aziz untuk menonjolkan diri sebagai berkebolehan yang mana kedua-dua dilantik menjadi menteri iaitu, YB Chua Jui Meng jadi Menteri Kesihatan dan YB Dato Mohamed Nazri Abdul Aziz menjadi Menteri Pembangunan Usahawan. Memang tidak dapat dinafikan kehadiran ahli-ahli parlimen Malaysia di persidangan CPA, IPU, AIPO dan APPU telah memberi peluang keemasan kepada mereka untuk maju dalam karier politik mereka. Biasanya ketua delegasi memberi kebebasan  kepada perwakilan untuk berucap atau hadir hanya mendengar  ahli-ahli parlimen negara lain berucap.Peluang seperti ini membolehkan sesetengah ahli ahli delegasi dari Malaysia melawat tempat-tempat bersejarah di Stockholm, ibu negara Sweden. Saya sebagai setiausaha, turut serta dalam lawatan yang diaturkan itu. Selesai persidangan ada beberapa orang ahli yang berehat di London termasuk saya sendiri sebab tidak ada perbezaan tambang. Peluang ini saya gunakan melawat House of Commons, London, Britain dan berjumpa dengan rakan-rakan lama di Parlimen Inggeris itu. Sempat hadir di persidangan Dewan Rendah (Parlimen) Inggeris semasa Question Time (soal jawab mulut). Semasa inilah kita dapat melihat kehebatan ahli-ahli Parlimen Inggeris berpidato dengan lancar sekali dalam apa-apa isu semasa dan isu luar negara atau dalam negeri.



Hari berikutnya saya pergi ke British Muzeum yang sangat terkenal itu. Mengikut cerita peminat-peminat sastera, ekonomi, politik dan lain lain mengambil peluang membaca di Muzeum ini. Dengan cara ini dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita terutama rakyat Malaysia yang kurang terdedah kepada sejarah jatuh bangunnya Empayar Inggeris.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan