07 Oktober 2010

MEMBACA DOA DI DEWAN RAKYAT

SAYA berkhidmat di Parlimen Malaysia sewaktu mesyuarat Belanjawan tahun 1969 iaitu ketika hampir akhir Parlimen kedua.Pada mulanya saya hanya memerhatikan Sidang Dewan dari galeri orang-orang kenamaan.Tidak beberapa lama saya diarah pula bertugas di dalam Dewan bersama-sama Setiausaha Dewan Rakyat, Haji Jaafar Taha dan Timbalan Setiausaha, Encik Lim Joo Keng. Jawatan saya pada masa itu ialah Penolong Setiausaha.



Pada suatu hari, saya diminta oleh Setiausaha Dewan untuk membaca doa sebelum Dewan bersidang. Doa ini ditiru daripada House of Commons (Dewan Rakyat Inggeris) yang juga membaca "prayers" sebelum Parlimen bersidang dan bezanya, di London yang membaca prayers (doa) ialah Chaplain dari Church of England dan orang ramai tidak dibenarkan hadir. Selepas doa barulah orang ramai dan tetamu ahli-ahli Parlimen Inggeris dibenarkan masuk ke dalam Dewan.




Di Parlimen kita pula, doa dibaca oleh Setiausaha atau penolongnya dan boleh didengar oleh semua yang hadir. Mula-mulanya saya merasa gerun sebab di sebelah kerajaan ada tokoh-tokoh politik tanah air seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail, Tun Tan Siew Sin, Tun Sambathan dan juga ahli Kota Setar Selatan, Dr Mahathir bin Mohamad seorang back-bencher di waktu itu iaitu pada tahun 1968. Di sebelah pihak pembangkang pula terdiri daripada Dato' Mohd Asri Haji Muda (PAS), D.R dan S.P Seenevasagam (PPP), Dr Tan Chee Khoon dan lain-lain.



Doanya berbunyi, " Segala puji bagi Allah dibuka majlis Dewan Rakyat, dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Pengasih, kepadaNya terpulang segala puji-pujian kepada Rasul-rasulNya selawat salam kehormatan, kepada sekalian orang yang taatkan Allah.

Ya Allah bersifat Maha Hikmat limpah keadilan, yang menanggungkan kewajipan ke atas pemerintah dan ahli majlis permesyuaratan bagi mentadbir muslihat  masyarakat pergaulan, mudah-mudahan sentosa aman, makmur limpah kebahagiaan, meliputi sekalian penduduk negara Malaysia.

Ya Allah kami sekalian hambaMu yang diperkenan menjadi ahli dewan Rakyat, menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan, terutama bagi negara Malaysia, bagi rakyatnya sekalian.

Ya Allah berkatMu ke atas kami berhimpun dipohon anugerahkan taufikMU, hidayatMu di pohon menyuluh memandukan pada ketika kami berunding menimbang bertukar fikiran, pada segala perkara yang dibentangkan, dengan saksama serta beramanah, menjunjung perintah dan kebesaran Allah, mudah-mudahan berlebih-lebih keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan, bagi negara Malaysia serta penduduknya sekalian.

Ya Allah, dipohonkan doa kami diperkenankan, Amin, Ya Tuhan seru alam sekalian."



Sejak Parlimen Pertama (1959-1964) doa ini telah dibaca dan diaminkan oleh semua ahli Dewan Rakyat beragama Islam tetapi tidak membawa kesan positif sebaliknya kebajikan rakyat terbanyak terus diabaikan. Keadaan kepura-puraan ini perlu diganti dengan muhasabah diri terutama ketua kerajaan dan kabinetnya supaya menunaikan kehendak doa yang cukup murni dan bermakna itu.

Dengan perubahan sikap di alaf baru boleh membawa kesejahteraan bagi 23 juta rakyat Malaysia. Inilah yang diharap-harapkan oleh rakyat sekalian...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan