24 September 2012

MENJADI SETIAUSAHA PAC




Dewan rakyat ada beberapa Jawatankuasa Pilihan. Di antaranya ialah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau lebih dikenali sebagai Public Accounts Committee (PAC). Apabila saya dilantik menjadi Penolong Setiausaha (PSU) Jabatan Parlimen pada 1 November 1968, saya juga ditugaskan untuk menjadi Setiausaha PAC. Pengerusi PAC ketika itu adalah YB Hanafiah Hussein, ahli Parlimen UMNO berkelulusan akauntan. Ketua Juruaudit negaranya ialah Mohd Zain, seorang penjawat awam yang beramanah. Mewakili Perbendaharaan Malaysia/Kementerian Kewangan ialah Sallehuddin Mohamed (Pegawai Belanjawan). Setiap kali diadakan mesyuarat PAC bertemulah terlebih dahulu dengan pengerusi PAC, Ketua Audit Negara dan Pegawai tertinggi daripada Kementerian Kewangan. Perbincangan diadakan di Pejabat Ketua Audit Negara.

Di sini, beberapa perenggan dari Ketua Audit Negara akan dipilih. Setelah dipilih, perenggan itu akan diberitahu kepada kementerian atau Jabatan berkenaan. Setelah notis mesyuarat diedarkan maka datanglah Pegawai-pegawai diketuai oleh Pegawai Pengawal (Ketua Jabatan/ Kementerian) akan hadir bersama Pegawai Pegawai berhadapan dengan PAC di Bangunan Parlimen. Di antara 6 orang ahli ahli PAC, seorang daripadanya adalah dari Parti Pembangkang di Dewan Rakyat. Banyak kenangan manis dan pahit saya sepanjang tempoh hampir 10 tahun menjadi setiausaha PAC.

Sebagai Setiausaha PAC, saya sempat memerhatikan gerak geri Pegawai Pegawai Kerajaan yang hadir. Ada yang terketar-ketar bila tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan ahli PAC. Maklumlah soalan soalan yang dikemukakan adalah perbelanjaan yang telah dilakukan oleh Pegawai Pegawai terbabit. Ada juga Pegawai Pegawai yang tidak bersedia secukupnya untuk menjawab soalan. Hasil dari mesyuarat PAC ini akan dilaporkan semula ke Dewan Rakyat setelah semua proses selesai. Inilah system “Check and Balance” dalam system kewangan di Negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen ini. 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan