17 Oktober 2010

TUNKU SEORANG DEMOKRAT


Waktu saya melaporkan diri ke Parlimen pada 1 November 1968, Dewan Rakyat sedang mengadakan Mesyuarat Belanjawan untuk meluluskan perbelanjaan tahun berikutnya, 1969 iaitu tahun pilihanraya bagi parlimen pertama ialah daripada tahun 1959 hingga 1964. Parlimen kedua daripada 1964 hingga 1969.

Dalam pilihanraya pada 10 Mei 1969 Parti Perikatan di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah memenangi peringkat Pusat tetapi di peringkat negeri, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) telah menawan Pulau Pinang dan PAS memenangi Kelantan. Di bawah pemilihan yang telus tanpa undi hantu, calon Perikatan di Kota Setar Selatan, Dr Mahathir Mohammad telah tewas kepada calon PAS iaitu Tuan Haji Yusuf Rawa. Dr Mahathir telah menyalahkan Presiden UMNO kerana kekalahan itu. Beliau juga telah mengkritik Tunku Abdul Rahman begitu teruk sekali yang menyebabkan beliau dipecat daripada UMNO. Surat layang yang menghentam Tunku telah diedar ke seluruh negara yang menyebabkan Tunku menulis sebuah buku bertajuk "13 Mei Sebelum dan Sesudah" yang elok dibaca oleh generasi hari ini.



Tunku sebagai seorang demokrat boleh menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menangkap Mahathir yang Tunku anggap sebagai 'Lalat Hijau' tetapi Bapa Kemerdekaan tidak berlaku zalim. Dr Mahathir dengan izin Allah menjadi Perdana Menteri keempat dan memegang kuasa sampai lebih 20 tahun. Satu rekod yang tidak mungkin boleh dipecahkan sebab apabila BA memerintah pada tahun 2004, Perdana Menteri kelima hanya boleh berkhidmat selama 2 penggal atau 10 tahun saja. Jika dasar ketua kerajaan boleh berkhidmat 10 tahun seperti di USA sudah tentu akan melahirkan pemimpin-pemimpin pelapis yang berkaliber dan penuh bertanggungjawab kepada rakyat jelata dan bukan seperti sekarang, makin lama memerintah makin kaya suku sakat dan kroni-kroninya. Yang anehnya media massa terus memuja sistem yang mewujudkan pelbagai gejala sosial yang tidak bertamadun seperti Black Metal.



Parlimen di zaman Tunku Abdul Rahman adalah tempat meluluskan undang-undang tanpa mencampur adukkan kemaslahatan kepentingan ekonomi peribadi. Doktrin pengasingan kuasa diamalkan dengan baik di zaman Tunku, Tun Razak dan Tun Hussien Onn yang kesemuanya lulusan undang-undang dari England iaitu ibu kepada Parlimen yang ditiru oleh Persekutuan Tanah Melayu apabila merdeka pada 31 Ogos 1957. Niat sistem pengasingan kuasa kepada Parlimen, Eksekutif dan Kehakiman adalah memastikan supaya ada 'check and balance' sebab manusia mudah lupa terutama apabila ada kuasa seperti berjawatan tinggi dan lama.

Dengan kuasa yang banyak seperti Ketua Dewan Parlimen dan Perdana Menteri,secara tidak langsung menguasai sistem kehakiman disebabkan semua hakim yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agung perlu diluluskan oleh Perdana Menteri terlebih dahulu. Dengan ini para hakim terhutang budi kepada PM dan T.S.T. Apa akan berlaku jika kepentingan kerajaan ada terlibat dalam kes-kes yang dibawa ke mahkamah. Ditambah pula ada hadis Nabi s.a.w menyatakan dua daripada tiga hakim masuk neraka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan