24 September 2012

MENJADI SETIAUSAHA PAC




Dewan rakyat ada beberapa Jawatankuasa Pilihan. Di antaranya ialah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau lebih dikenali sebagai Public Accounts Committee (PAC). Apabila saya dilantik menjadi Penolong Setiausaha (PSU) Jabatan Parlimen pada 1 November 1968, saya juga ditugaskan untuk menjadi Setiausaha PAC. Pengerusi PAC ketika itu adalah YB Hanafiah Hussein, ahli Parlimen UMNO berkelulusan akauntan. Ketua Juruaudit negaranya ialah Mohd Zain, seorang penjawat awam yang beramanah. Mewakili Perbendaharaan Malaysia/Kementerian Kewangan ialah Sallehuddin Mohamed (Pegawai Belanjawan). Setiap kali diadakan mesyuarat PAC bertemulah terlebih dahulu dengan pengerusi PAC, Ketua Audit Negara dan Pegawai tertinggi daripada Kementerian Kewangan. Perbincangan diadakan di Pejabat Ketua Audit Negara.

Di sini, beberapa perenggan dari Ketua Audit Negara akan dipilih. Setelah dipilih, perenggan itu akan diberitahu kepada kementerian atau Jabatan berkenaan. Setelah notis mesyuarat diedarkan maka datanglah Pegawai-pegawai diketuai oleh Pegawai Pengawal (Ketua Jabatan/ Kementerian) akan hadir bersama Pegawai Pegawai berhadapan dengan PAC di Bangunan Parlimen. Di antara 6 orang ahli ahli PAC, seorang daripadanya adalah dari Parti Pembangkang di Dewan Rakyat. Banyak kenangan manis dan pahit saya sepanjang tempoh hampir 10 tahun menjadi setiausaha PAC.

Sebagai Setiausaha PAC, saya sempat memerhatikan gerak geri Pegawai Pegawai Kerajaan yang hadir. Ada yang terketar-ketar bila tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan ahli PAC. Maklumlah soalan soalan yang dikemukakan adalah perbelanjaan yang telah dilakukan oleh Pegawai Pegawai terbabit. Ada juga Pegawai Pegawai yang tidak bersedia secukupnya untuk menjawab soalan. Hasil dari mesyuarat PAC ini akan dilaporkan semula ke Dewan Rakyat setelah semua proses selesai. Inilah system “Check and Balance” dalam system kewangan di Negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen ini. 





10 September 2012

SOLAT TERAWIH DI PUSAT ISLAM GENEVA, SWITZERLAND

Tariq Ramadan ( anak Syed Ramadan ) bersama Anwar Ibrahim




Parlimen Malaysia telah bersetuju menghantar satu delegasi ahli-ahli parlimen ke persidangan Inter Parliamentary Union (IPU) di Geneva pada bulan Oktober 1973. Saya telah dipilih menjadi setiausaha delegasi yang terdiri daripada YB Soh Ah Teck (Dewan Rakyat) dan YB Abdullah bin Abdul Rahman (Dewan Negara). Kami berada di Geneva pada bulan Ramadhan, kebetulan pula waktu itu adalah musim luruh.

Di musim luruh, waktu siangnya pendek dan waktu malamnya panjang. Sepanjang berada di Geneva selama sepuluh hari saya tetap berpuasa. Saya berbuka dan mengerjakan solat terawih di Pusat Islam Geneva yang diketuai oleh Syed Ramadhan, menantu kepada Asy-Syahid Imam Hassan Al Bana. Waktu berbuka ialah jam 5:30 petang. Habis saja persidangan setiap hari, saya akan bergegas ke hotel dan bergerak ke Pusat Islam Geneva untuk berbuka bersama beberapa kakitangan pusat tersebut. Semangat Islam saya kuat disebabkan saya berada di dalam Jemaah Darul Arqam yang berpusat di Sungai Penchala pada ketika itu.

Ikan kembong ikan tenggiri
Dua jenis ikan darat
Dengan iman terkawallah diri

Menanti kebahagiaan di akhirat





06 Ogos 2012

PERISTIWA LUCU DI MAJLIS MENGANGKAT SUMPAH DI DEWAN NEGARA

gambar hiasan


Semasa saya memegang jawatan Setiausaha Dewan Negara; Parlimen Malaysia
pada tahun 1989 hingga 1995, saya mendapat pengalaman yang memalukan seorang Ahli Dewan Negara/ Senator dari MIC yang mewakili BN.  Majlis angkat sumpah diadakan di dalam dewan, Dewan Negara disaksikan oleh semua Senator-senator dan Pegawai-pegawai Kerajaan yang datang bertugas. Ada juga orang awam sebagai pemerhati yang datang dengan kebenaran Parlimen Malaysia. Di waktu majlis angkat sumpah ini ada 11 Senator baru yang perlu mengangkat sumpah di hadapan Tuan Yang Di Pertua (Presiden Senate). 

Apabila sampai giliran Senator daripada MIC beliau tampil kehadapan. Biasanya Y.B Senator akan mengangkat tangan kanan dengan melafazkan ucapan yang berbunyi ”saya yang telah dilantik menjadi Ahli Dewan Negara dengan ini mengangkat sumpah ....... tetapi apa yang terjadi ahli MIC  tadi telah berkata ”saya yang telah dilantik menjadi Ahli Dewan Negara dengan ini mengangkat  SAMPAH .... Maka ketawalah semua yang berada di dalam Dewan. Saya yang berada di depan meja Setiausaha Dewan tidak dapat membetulkan kesilapan itu, disebabkan nanti Senator daripada MIC itu bertambah malu, upacara yang mulia ini terpaksa diteruskan walaupun salah dari sisi Bahasa Melayu.


          Pergi ke kedai membeli rempah
                   Digunakan untuk memasak kari
          Berbeza sampah dengan sumpah
                   Diketahui orang yang bistari